Tuesday, 22 September 2015

Zihar

IRSYAD FATWA KE-74: ZIHAR

DITULIS OLEH NADZIRAH PADA 18 OGOS 2015. DITERBITKAN DI DALAM IRSYAD FATWA

SOALAN

Pada awal perkahwinan, suami pernah mengatakan muka saya sama dengan muka ibu saya. Adakah ini dalam kategori zihar?


JAWAPAN

Perkataan zihar pada bahasa diambil daripada belakang atau yang zahir iaitu setiap yang berlawanan dengan batin.

Mengikut istilah fiqh pula terdapat beberapa definisi, antaranya:

Mazhab Hanafi: Zihar ialah menyamakan isterinya atau bahagian daripada anggota tidak halal dilihat bagi yang ajnabi selama-lamanya.Mazhab Maliki: Zihar ialah menyamakan seorang lelaki yang mukallaf dengan perempuan yang halal (isteri-isterinya) dengan yang diharam selama-lamanya seperti dengan sebab nasab atau susuan.Mazhab Syafie: Zihar ialah menyamakan isteri yang bukan diceraikan dengan perempuan yang tidak halal baginya berkahwin.Mazhab Hanbali: Zihar ialah seorang berkata kepada isterinya "awak bagiku seperti belakang ibuku" atau siapa yang diharamkan ke atasnya secara selama-lamanya.

Hukum zihar adalah haram dan termasuk daripada dosa besar dan siapa yang melakukannya dianggap dosa dengan jimak. Lihat Takmilah al-Majmu' (16/341). Ini berdasarkan nas al-Quran:

الَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْكُمْ مِنْ نِسَائِهِمْ مَا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلاَّ اللاَّئِي وَلَدْنَهُمْ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنْكَراً مِنْ الْقَوْلِ وَزُوراً

Maksudnya: Orang-orang yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu adalah orang-orang yang bersalah, kerana isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka dengan melakukan yang demikian memperkatakan sesuatu perkara yang mungkar dan dusta.

(Surah al-Mujadalah: 2)

Dalam hal ini ulama telah berkhilaf akan perkara yang diziharkan dengannya, mengikut mazhab Maliki anggota yang menjadi zihar ialah yang tidak halal dilihat seperti belakang, perut dan peha. Jika disbanding dengan kepala ibunya atau mukanya ia tidak dianggap sebagai zihar ini juga merupakan pendapat mazhab Hanafi.

Imam Syafie berkata jika bandingan selain daripada belakang dan dikehendaki daripadanya sebagai kemuliaan dan itu sahaja niatnya, maka ia tidak dianggap sebagai zihar. Lihat Kifayah al-Akhyar (2/70).

Pendapat yang rajah termasuk dalam zihar. Ini kerana menyamakan anggota yang zahir dan besar. Walaupun begitu rujuklah kepada mahkamah kerana keputusannya adalah muktamad.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

03 Zulkaedah 1436h bersamaan 18 Ogos 2015

http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=category&layout=blog&id=48&Itemid=395&limitstart=15

Dihantar oleh: Admin1

Langganilah https://telegram.me/UlamaBot Untuk Info Sahih Dan Pantas.
~Hijau

No comments:

Post a comment