📝 TAZKIRAH SUBUH : USRAH LAJNAH TARBIYAH 📝
Perkataan pendidikan dalam islam ialah 'al-Tarbiyah' istilah al-Tarbiyah berasal dari kata 'Rab' yang memberi dua maksud atau makna :-
1- Tuhan
2- Yang mendidik alam.
Allah menjadikan alam dengan ada tujuan. Allah membimbing alam terutama manusia. Firman Allah swt :
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفةَ
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".
Tugas khalifah di alam ini pernah ditawarkan kepada makhluk lain seperti langit, bumi dan gunung-ganang mereka semua tidak sanggup. Firman Allah :
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا
Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
Sesungguhnya hakikat semula jadi manusia ialah tunduk dan patuh mengabdikan diri kepada Allah dan sesungguhnya bumi ini adalah diperuntukkan kepada manusia yang soleh untuk memakmurkannya dengan fungsinya sebagai khalifah. Firman Allah :
وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِن بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ
Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh".
Kini kita jelas dengan firman-firman Allah swt didalam al-Quran bahawa kita perlu berada didalam (Tarbiyah). Dan ia adalah satu proses dimana manusia dari segi personalitinya didekatkan dari satu tahap ke satu tahap sehingga sampai ke tahap kesempurnaan ( al- Insan al-kamil ) sebagai matlamat akhirnya.
Sebagai kesimpulannya pendidikan dalam Islam ialah suatu proses membentuk, melatih dan membimbing seluruh potensi yang ada pada manusia sama ada akal, jasmani, dan rohani. Bersumberkan bimbingan ilahi untuk melahirkan insan soleh yang menjadi penguasa di alam ini. Waallahu a'lam,
" TANPA ILMU PASTI LAYU, TANPA TARBIYAH PASTI REBAH " .
Ustaz Zulhaidi
22 Zulqaedah 1436H
6 Sept 2015 Ahad
6 : 40 Pagi
Dihantar oleh: Admin
Langganilah https://telegram.me/DPPMbot Untuk Info Sahih Dan Pantas.
~Hijau
No comments:
Post a Comment