Sunday, 6 September 2015

Syirik Dan Penjelasannya.

📝 TAZKIRAH SUBUH : USRAH LAJNAH TARBIYAH 📝

Syirik Dan Penjelasannya.

Sebagaimana yang telah dijelaskan pada perkongsian yang lepas, bagaimana mencapai kesempurnaan tauhid, seorang muslim itu wajib menjauhkan dirinya segala perkara syirik. Oleh yang demikian perkongsian kali ini cuba untuk menjelaskan mengenai perkara-perkara syirik sama ada besar mahupun kecil. Syirik adalah satu perkara yang berlawanan dengan tauhid dan ditentang oleh agama islam. Setiap Rasul yang diutus, disamping mereka mengajak umatnya supaya mentauhidkan Allah Swt. Mereka juga melarang umatnya dari mensyirikkan Allah Swt. Di dalam al-Quran banyak ayat yang mengajak manusia supaya menyembah Allah Swt dan menjauhi diri daripada melakukan syirik kepada-Nya, di antaranya :

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا

Maksudnya : Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua.

Apabila dilihat kepada asal sejarah manusia semenjak nabi Adam, kita dapati kesemuanya mentauhidkan Allah Swt dan tidak berlaku apa-apa syirik kepada Allah Swt. Syirik mula-mula berlaku oleh manusia iaitu umat Nabi Nuh kira-kira seribu tahun kemudian daripada Nabi Adam. Berlaku syirik di zaman Nabi Nuh berpunca dari kasih sayang pengikutnya yang teramat sangat kepada beberapa orang soleh bernama ( ود ) wadd, ( سواع ) suwa' , ( ياغوت ) yaghut, ( يعوق ) ya'uk dan ( نسرا ) nasra. Mereka sangat-sangat dikasihi oleh pengikut mereka. Setelah mereka semua mati, pengikut mereka ini bermuafakat mahu mengukir patung-patung atau tugu-tugu sebagai peringatan dan mengenang jasa mereka. Setelah mati generasi tersebut, patung-patung itu pula disembah oleh generasi anak cucu mereka. Kemudian syirik ini terus berlaku sepanjang zaman sehinggalah ke seleruh umat nabi-nabi lain sampailah ke zaman Nabi Muhammad Saw.

Syirik bermaksud menyekutu atau bersepakat juga boleh dikatakan bersama, Mensyirikkan Allah Swt bererti menyekutukan-Nya dengan benda-benda lain. Sebagai contoh menyekutukan sesuatu mahkluk dengan Allah Swt pada sifat Rububiyyah-Nya atau asma' dan uluhiyyah-Nya. Begitu juga bersepakat atau menyamakan Allah Swt dengan sesuatu mahkluk, dia kasihkan yahudi laknatullah sama seperti dia kasihkan Allah Swt dan TAKUT kepada mahkluk sama takutkan Allah Swt, atau lebih daripada itu mentaati yahudi lebih dari mentaati Allah Swt. Kerana itu Allah Swt menjelaskan yang dia tidak akan mengampuni dosa syirik yang dilakukan terhadap-Nya sedangkan dosa-dosa lain akan diampun dengan iradat-Nya. Firman Allah Swt :

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاء

Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

Jenis syirik kepada Allah Swt terbahagi kepada dua bahagian iaitu syirik besar atau syirik kecil. Syirik besar ialah mempercayai atau mengaku ada sesuatu mahkluk yang setara atau sebanding dengan Allah Swt yang ditujukan kepada mahkluk doa permohonan sama seperti yang ditujukan kepada Allah Swt. Waallahu a'lam....

" TANPA ILMU PASTI LAYU, TANPA TARBIYAH PASTI REBAH " .

Ustaz Zulhaidi
23 Zulqaedah 1436H
7 Sept 2015 Isnin
6 : 35 Pagi

Dihantar oleh: Admin

Langganilah https://telegram.me/DPPMbot Untuk Info Sahih Dan Pantas.
~Hijau

No comments:

Post a Comment