Wednesday, 23 September 2015

SIARAN PENERANGAN PAS NEGERI PERAK

Badan Perhubungan PAS Negeri Perak menyambut baik seruan oleh Khutbah Hari Raya Korban yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), mengajak umat Islam bersatu dengan mengenepikan perbezaan yang wujud. PAS sebagai sebuah parti Islam sememangnya komited semenjak dari awal penubuhan mengajak kaum muslimin seluruhnya bersatu atas obor dan roh kebenaran iaitu Islam. Kesatuan kaum Muslimin khususnya di Perak mestilah bertujuan untuk meninggikan kalimah Allah kerana dengannya sahaja seluruh rakyat mendapat keadilan dan rahmat.

Sebagai sebuah parti politik yang menjunjung al-Quran, al-Hadith, Ijma dan Qiyas sebagai sumber rujukan, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak bersedia bekerjasama dengan semua organisasi sama ada agensi-agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti politik di negeri Perak ke arah meninggikan kalimah Allah termasuklah mendaulatkan hukum-hukumnya. Kami mengajak semua pihak mengorbankan kepentingan masing-masing demi untuk menjunjung perintah Allah sebagaimana roh ibadah korban yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s.

Sehubungan dengan itu, sebagai menyahut intipati khutbah tersebut, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mengajak seluruh umat Islam di Perak berganding bahu untuk kembali kepada Islam sebagai teras peradaban kita. Marilah kita membulatkan tekad menjadikan negeri Perak Darul Ridzuan, negeri yang diredhai oleh Allah sebagaimana namanya, dengan kita menggali semula ajaran Islam yang kamil dan mutakamil, seterusnya berusaha melaksanakannya. Demi untuk mencapai cita-cita murni itu, semua kita perlu berkorban sebagaimana semangat pengorbanan para Rasul dan pengikut-pengikutnya terdahulu.

الله اكبر الله اكبر الله اكبر

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Ketua Penerangan PAS Perak

24 September 2015
10 Zulhijah 1436
~Hijau

No comments:

Post a Comment