Friday, 11 September 2015

KENYATAAN MEDIABadan Perhubungan PAS Negeri Sarawak (BPPNS)

TUAN HAJI JOFRI JARAIEE DILANTIK SEBAGAI PESURUHJAYA PAS NEGERI SARAWAK YANG BAHARU

1. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah melantik Tuan Haji Jofri Jaraiee sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak yang baharu. Beliau menggantikan Almarhum Tuan Haji Adam Ahid yang meninggal dunia baru-baru ini.

2. Tuan Haji Jofri Jaraiee, berusia 50 tahun dan merupakan Ahli PAS sejak 1989, merupakan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Miri sejak penubuhannya pada tahun 2009 sehingga kini. Sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Sarawak, beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya 1 serta juga pernah diamanahkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sarawak sejak tahun 2011.

3. Beliau merupakan anak tempatan Sarawak berasal dari Miri dan berketurunan Melanau Baiee. Beliau telah berkahwin dan dikurniakan 4 orang cahaya mata. Berlatarbelakang pendidikan Pengurusan Pengangkutan dan Logistik, beliau kini berkhidmat sebagai Penyelia di sebuah syarikat minyak dan gas.

4. Tuan Haji Jofri Jaraiee ketika dimaklumkan tentang perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya, berharap agar seluruh Ahli PAS Sarawak akan bersatu fikiran dan gerak kerja dalam melaksanakan agenda jamaah serta terus beristiqamah berjuang Islam bersama PAS sehingga mencapai kemenangan.

5. Beliau juga memohon kerjasama dari semua pihak khususnya dalam memacu impian PAS Sarawak melahirkan ADUN Sulung dalam Pilihanraya Negeri Sarawak akan datang. PAS Sarawak akan bertanding di sekurang-kurangnya 8 kerusi DUN yang telah dikenalpasti, in shaa Allah. PAS Sarawak juga akan terus komited dalam melaksanakan agenda negara berkebajikan melalui program-program dan projek-projek Untukmu Sarawak yang telah dan akan dilaksanakan.

6. Sempena 16 September minggu depan, PAS Sarawak juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia Ke-52 dengan harapan semoga tanahair yang disayangi akan terus sejahtera. Rakyat Sarawak diharap memberi sokongan serta peluang kepada PAS Sarawak dalam Pilihanraya akan datang ke arah membentuk sistem semak dan imbang (check and balance) yang berkesan.

7. Semoga Tuan Haji Jofri Jaraiee diberikan taufik dan hidayah dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. Sama-sama membantu beliau menjayakan agenda siasah (politik), dakwah dan tarbiyah melalui wasilah PAS di negeri Sarawak tercinta.

"UNTUKMU SARAWAK"

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

Sekian, terima kasih.

Kenyataan Media dikeluarkan oleh:
Mukhtar Bin Suhaili
Setiausaha PAS Negeri Sarawak
Bertarikh: 11 September 2015

Dihantar oleh: ePenerangan

Langganilah https://telegram.me/PASMalaysiaBot Untuk Info Sahih Dan Pantas.
~Hijau

No comments:

Post a comment