Wednesday, 30 September 2015

Hukum Menggunakan Alat Memasak Yang Pernah Digunakan Untuk Memasak Babi.

Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia

Q & A Bersama Felo Penyelidik Fatwa

Hukum Menggunakan Alat Memasak Yang Pernah Digunakan Untuk Memasak Babi.

ISU:

Saya ada sedikit persoalan berkaitan hukum menggunakan alat memasak yang pernah digunakan untuk memasak babi. Mengikut bacaan saya ada hadith Nabi yang mengatakan hukumnya makruh, tetapi jika tiada alat lain yang boleh digunakan, boleh digunakan dan cukup sekadar dengan mencuci seperti biasa tanpa perlu disamak. Mohon penjelasan hukum lebih lanjut.

PENJELASAN:

Hukum asal sesuatu bekas adalah bersih dan suci; sama ada digunakan oleh seorang Muslim atau orang bukan Islam, kecuali jika diyakini bekas itu telah terkena najis. Oleh sebab itu majoriti ulama berpendapat, dibenarkan seorang Muslim menggunakan bekas yang digunakan oleh orang bukan Islam.

Namun begitu, jika diyakini bekas atau alat memasak digunakan untuk menyimpan atau memasak benda haram seperti daging babi, maka hukum menggunakannya setelah dibersihkan adalah makruh.

Ini berdasarkan hadis yang dilaporkan oleh Abu Sa'labah, beliau berkata kepada Rasulullah saw, "Kami berjiran dengan ahli kitab. Mereka memasak daging babi dalam periuk mereka dan mereka minum arak dalam cawan mereka. Maka apa hukum menggunakan periuk dan cawan itu?" Jawab Rasulullah saw, "Jika kamu mempunyai periuk dan bekas lain, maka makan dan minumlah dengan bekas lain itu. Tetapi jika kamu tiada bekas lain, maka basuhlah bekas yang digunakan untuk najis itu dengan air, kemudian kamu makan dan minumlah menggunakannya." Hadis sahih direkodkan oleh Imam Abu Daud.

Sabda Nabi Muhammad saw dalam hadis tersebut: " Jika kamu mempunyai periuk dan bekas lain, maka makan dan minumlah dengan bekas lain itu..." menunjukkan makruh menggunakan bekas atau alat memasak yang digunakan untuk menyimpan atau memasak benda haram dan najis setelah ia dibasuh.

Imam al-Nawawi menjelaskan, "Larangan makan menggunakan pinggan mangkuk yang telah digunakan untuk najis walaupun selepas dibasuh kerana pinggan mangkuk itu kotor dan biasa digunakan untuk najis." (al-Nawawi, Syarh sahih Muslim, jil. 13, hlm. 80)

Namun cara membersihkan atau membasuh bekas atau alat memasak tersebut perlu merujuk kepada jenis najis. Jika najis itu, najis mutawassitah seperti cawan yang digunakan untuk minum arak, maka cawan itu perlu dibasuh sehingga hilang kesan arak itu. Tetapi jika najis itu adalah najis mughallazah, maka cara membasuhnya adalah berbeza. 

Menurut Imam al-Syafi'e dan ulama bermazhab Syafi'e, najis mughallazah adalah babi dan anjing. Oleh itu, jika bekas atau alat memasak digunakan untuk menyimpan atau memasak daging babi, maka bekas itu wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satunya menggunakan air bercampur tanah. Hukum ini diqiyas kepada cara membersihkan bekas yang dijilat oleh anjing sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw, "Jika anjing menjilat bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah bekas itu tujuh kali dan salah satunya bercampur tanah." Menurut Imam al-Syafi'e, babi adalah lebih kotor berbanding anjing, oleh itu cara membasuh bekas yang terkena babi juga perlu dibasuh dengan cara yang sama (al-Khin et.al., al-Fiqh al-manhaji, jil. 1, hlm. 54). 

Berdasarkan keterangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 November 2006 yang telah membincangkan Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat: "Masyarakat Islam di Malaysia mengamalkan mazhab Syafi'e dalam kebanyakan urusan peribadatannya. Oleh itu amalan samak sebanyak tujuh kali yang salah satu daripadanya menggunakan tanah telah diterimapakai secara umum oleh masyarakat, sama ada untuk menyucikan najis mughallazah yang terkena pada badan, pakaian, rumah dan sebagainya."

Dihantar oleh: Admin1

Langganilah https://telegram.me/UlamaBot Untuk Info Sahih Dan Pantas.
~Hijau

No comments:

Post a comment