Wednesday, 30 September 2015

Fatwa Mengenai Rawatan Hormon Bagi Wanita Yang Telah Putus Haid



Sosial/Syariah

Tarikh Keputusan: 

 14 Jun, 1998

Huraian Tajuk/Isu: 

Mesyuarat membincang dengan terperinci mengenai masalah ini berdasarkan kertas penjelasan yang disediakan oleh pakar di bidang berkenaan serta maklumat lanjut yang diberi secara lisan kepada ahli Jamaah Ulama" Majlis Agama Islam Kelantan.

Mesyuarat juga mengambil maklum tentang tujuan rawatan hormon adalah sebagaimana berikut :

1. Untuk mengawal gejala-gejala yang berkaitan dengan putus haid di mana ianya mengakibatkan terganggunya kerja-kerja seharian dan juga hubungan kelamin.
2. Untuk mencegah penyakit reput tulang yang boleh menyebabkan mudah patah tulang apabila seseorang wanita itu terjatuh dan sebagainya.
3. Untuk mencegah penyakit jantung yang kerap berlaku pada wanita di peringkat umur putus haid.

Keputusan: 

Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 14 Jun 1998 telah membincangkan fatwa  mengenai rawatan hormon bagi wanita yang telah putus haid. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:

Bahawa pengambilan ubat hormon itu adalah diharuskan walaupun ianya diproses dengan menggunakan hormon yang terdapat pada air kencing kuda bunting. Kaedah rawatan dengan menggunakan tampalan pada kulit badan yang menyebabkan terhalang air ke kulit, ia hendaklah ditanggalkan apabila hendak mengangkat hadas besar.

Rawatan secara kaedah perdarahan bulanan yang dimulakan semasa umur kedatangan haid dan diteruskan sehingga seseorang itu putus haid, adalah harus dan darah yang keluar menurut tempoh kedatangan haid adalah dianggap darah haid walaupun seseorang itu sudah putus haid atau berada pada usia putus haid.

Bagi perempuan yang bersuami, persetujuan suami hendaklah diperolehi untuk mengambil ubat-ubatan hormon tersebut.

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-mengenai-rawatan-hormon-bagi-wanita-yang-telah-putus-haid

Dihantar oleh: Admin1

Langganilah https://telegram.me/UlamaBot Untuk Info Sahih Dan Pantas.
~Hijau

No comments:

Post a Comment