SOALAN
Apakah anggota tubuh yang pertama sekali memberi saksi di hari akhirat?
JAWAPAN
Dalam menjawab persoalan ini, saya nukilkan kenyataan Imam al-Qurtubi melalui Tazkirahnya, Abu Bakar bin Abu Syaibah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَجِيئُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَى أَفْوَاهِكُمُ الْفِدَامُ، وَإِنَّ أَوَّلَ مَا يَتَكَلَّمُ مِنَ الآْدَمِيَّ فَخِذُهُ وَكَفُّهُ
Maksudnya: "Pada hari kiamat kamu semua akan datang dalam keadaan bisu dan yang pertama sekali bercakap adalah paha dan telapak tangannya."
Riwayat Abu Hurairah (13423)
Sabda Baginda SAW mengandungi dua makna:
Pertama: Anggota tubuh dapat bercakap bertujuan memalukan orang yang melakukan kejahatan di hadapan semua makhluk di akhirat. Walaupun telah ditulis di dalam kitab amal (buku catatan amal), namun anggota tubuhnya tetap bercakap untuk mengatakan kejahatannya kerana di dunia dia melakukan perbuatan keji secara terang-terangan; hatinya terpaut dengan perbuatan keji dan tidak mengingati Allah SWT sedikit pun. Dia tidak takut melakukan perbuatan itu, bahkan gembira ketika melakukannya. Oleh kerana itu, Allah SWT juga terang-terangan membuka kejahatannya kepada semua makhluk melalui kesaksian anggota tubuh sendiri.
Allah SWT mengatakan perkara tersebut
هَذَا كِتَابُنَا يَنطِقُ عَلَيْكُمْ بِالْحَقِّ إِنَّا كُنَّا نَسْتَنسِخُ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya: Inilah kitab (catatan ) Kami yang menuturkan kepadamu dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya Kami telah menyuruh mencatat apa yang telah kamu kerjakan.
(Surah al-Jasiyah: 29)
Kedua: Boleh jadi dia membaca kitab amal (buku catatan amal)nya tetapi tidak faham dengan apa yang dibacanya, bahkan dia menafikannya, sehingga Allah SWT menutup mulutnya ketika itu dan digantikan oleh anggota badannya untuk bercakap. Anggota badan yang ketika di dunia tidak dapat bercakap menjadi saksi kejahatan yang dilakukannya.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
11 Zulkaedah 1436H bersamaan 26 Ogos 2015
Dihantar oleh: Admin1
Langganilah https://telegram.me/UlamaBot Untuk Info Sahih Dan Pantas.
~Hijau
No comments:
Post a Comment